• SELAMAT DATANG & TERIMA KASIH KERANA SUPPORT LAZIZ
  • SILA PASTIKAN ANDA MEMILIH CURRIER YANG SEPATUTNYA SEBELUM PEMBAYARAN....
  • PIHAK KAMI HANYA COVER SEMENANJUNG MALAYSIA SAHAJA BAGI PRODUK IKAN PATIN. TERIMA KASIH
icon-search

5 KELEBIHAN MASAK DI RUMAH

5 KELEBIHAN MASAK DI RUMAH

GEMUK berlebihan atau obesiti adalah penyakit yang melanda banyak negara di dunia, terutama negara maju dan makmur.

 

Malaysia juga tidak terkecuali dalam masalah ini, malah daripada statistik dilakukan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS), kadar obesiti di negara ini meningkat tiga kali ganda sejak 20 tahun lalu.

 

Hal itu mendorong kepada risiko bagi penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti kandungan gula dalam darah yang tinggi, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi turut meningkat serta memberi kesan kepada sebahagian besar masyarakat.

 

Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia, Dr Tee E Siong berkata, perkara ini semakin membimbangkan dan antara penyumbang terbesar kepada situasi ini ialah pengambilan makanan kurang menyihatkan terutama makanan yang dibeli di luar, tinggi kandungan lemak, bahan perasa serta garam. 

 

"Ramai di antara kita suka makanan manis di mana kebanyakan hidangan tempatan turut mengandungi gula yang banyak.

 

"Jika nasi lemak, nasi kandar, roti canai atau char kuay teow terdapat dalam senarai makanan kegemaran anda setiap hari, maka tabiat makanan anda tidak sihat.

"Ini kerana, pengambilan diet sebegitu dengan kerap akan meningkatkan risiko anda untuk mengalami satu atau lebih faktor risiko NCD," katanya.

 

Justeru, lakukan perubahan dan makan makanan yang dimasak sendiri di rumah kerana jumlah nutrien mahupun bahan perasa mengikut diet sihat boleh ditentukan atau dikawal.

Apa yang penting, berusaha lebih serius untuk menjayakannya demi kesihatan berpanjangan.


Berikut adalah lima sebab mengapa masakan di rumah merupakan pilihan lebih baik:

 

1. Lebih murah berbanding makanan di luar

Makanan berbungkus (dan makanan di restoran) selalunya lebih mahal daripada hidangan yang sama di rumah.

Anda juga boleh berjimat dengan membeli bahan makanan dalam kuantiti banyak atau ketika jualan murah.

 

2. Lebih masa bersama keluarga

Memasak dan kemudiannya makan bersama keluarga di rumah dapat meluangkan lebih masa bersama keluarga.

Jika anda mempunyai jadual kerja yang padat, sediakan makanan untuk minggu seterusnya pada hujung minggu dan bahagikan menu mengikut hari dan sejuk bekukan makanan itu.

 

3. Perasa lebih sihat

Memasak di rumah bermaksud anda boleh memilih bahan masakan dikehendaki sama ada daging tanpa lemak dan mahu lebih banyak sayur. Anda juga boleh kawal kandungan lemak, garam dan gula dalam setiap hidangan.

 

4. Lebih mudah merancang pemakanan yang seimbang dan berkhasiat.

Merancang menu mingguan membolehkan anda memasak hidangan seimbang khusus buat keluarga bagi memastikan khasiat yang diperlukan oleh tubuh badan dipenuhi dan mengurangkan keinginan untuk makanan ringan.

 

5. Jagalah usus anda

Memasak di rumah juga membolehkan anda memastikan sendiri tahap kebersihan sesuatu hidangan. Anda tidak perlu bimbang mengenai keadaan pinggan, tempat penyediaan makanan yang kotor, atau bahan tidak segar. Ini kerana, anda boleh mengawal makanan yang diambil sepenuhnya.

 

Dengan mengurangkan risiko bakteria berbahaya membiak dalam makanan, anda juga mengurangkan beban terhadap usus.

Pengawalan sempadan

 

Usus merupakan barisan pertahanan pertama tubuh badan anda terhadap bakteria yang menyebabkan penyakit (patogen). Usus juga mengandungi populasi mikro organisma yang besar dipanggil mikrobiota usus.

 

Mikrobiota usus yang sihat harus dikekalkan pada nisbah 85 peratus bakteria baik dan 15 peratus bakteria tidak baik. Anda juga boleh mengawal keseimbangan ini dengan pengambilan makanan yang boleh membekalkan bakteria baik dalam usus dan minum minuman susu kultur yang mengandungi kultur probiotik, Lactobacillus acidophilus dan Lactobacillus paracasei dengan teratur.

 

Kesimpulannya, cara masakan yang digunakan dalam penyediaan hidangan akan memberi kesan kepada khasiat juadah itu.

 

Cara masakan yang lebih sihat termasuk menumis, menyalai, memanggang, mereneh, membakar atau mengukus.

 

Sebaiknya, elak menggunakan cara menggoreng dengan minyak yang banyak.

Terdapat banyak cara dan resipi untuk hidangan enak lagi berkhasiat. Jangan takut untuk mencuba dan ingat bahawa pemakanan sihat tidak semestinya tawar dan membosankan.

Selain itu, jangan lupa juga untuk menjalani gaya hidup yang aktif.

 

Sumber : HMetro

 

 

 




Older post Newer post

Your cart is currently empty.
Continue shopping